BERITA


INPENS UNGGULI WAKANDISK CHALLENGE DISK 2019

(16/03/2019)

Pasukan NextGen Ultimate (NGU) yang mewakili Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) mempamerkan aksi cemerlang apabila menjuarai Wakandisk Ultimate Challenge 2019. Pada pertandingan yang berlangsung di Padang Tualang, UiTM Dengkil pada 16 Mac lalu, NGU bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan pasukan Panthera Ultimate yang mewakili UiTM Rembau dengan jaringan 6-5 dalam saingan akhir. Wakandisk Ultimate Challenge 2019 disertai sebanyak lapan pasukan daripada pelbagai intitusi pengajian seluruh Malaysia .

Kapten Pasukan NGU, Mohammad Aizzuddin Safri berkata, beliau sangat gembira dengan kemenangan yang diraih memandangkan ini merupakan penyertaan sulung NGU dalam pertandingan luar INPENS. Lebih membanggakan, pasukan yang baru ditubuhkan dua bulan lalu ini telah menjalani latihan intensif pada setiap petang sebagai persediaan pertandingan.

“Selepas ini NGU akan menyertai lebih banyak pertandingan sama ada di peringkat IPT ataupun nasional. Kami akan berusaha sebaiknya mengharumkan nama INPENS sekali gus membawa imej bahawa pelajar INPENS bukan sahaja berkebolehan dalam bidang TVET, malahan kami mempunyai keupayaan bersukan setaraf IPT lainnya,” ujar Aizzudin lagi.

Sukan piring terbang yang turut dikenali sebagai Frisbee ini juga merupakan sukan terbaharu yang diperkenalkan di INPENS. Sukan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan lebih 40 orang pelajar sejak ditubuhkan hujung Januari lalu. Pasukan INPENS ini dibimbing khas oleh Encik Adi Asymawi yang juga merupakan pelajar jurusan Sains Sukan dari UiTM Arau.