BERITA


INPENS CATAT REKOD TERTINGGI PENGAMBILAN PELAJAR

(09/01/2018)

Seramai 663 orang pelajar baharu telah mendaftar di INPENS International College (INPENS) hari ini untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang kemahiran yang diminati. Angka pengambilan ini juga telah memecahkan rekod terdahulu iaitu seramai 500 orang pelajar. Rata-rata yang hadir mendaftar menyedari Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education Training ataupun singkatannya TVET) merupakan bidang yang menjadi keberutamaan di banyak industri. Ini ditambah lagi dengan gelombang revolusi Industri 4.0 yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi menjayakan revolusi tersebut.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri bin Yaman berkata, beliau teruja dengan perkembangan dunia pendidikan TVET pada hari ini. Beliau turut berkata masyarakat kini perlu yakin bahawa bidang kemahiran adalah untuk semua belia yang berpotensi dan bukan hanya untuk golongan keciciran akademik sahaja.

“Semakin ramai yang memilih aliran kemahiran kerana menyedari kepentingan tenaga mahir ini di dalam membangunkan ekonomi negara. Buktinya, INPENS dibanjiri lebih 600 orang pelajar baharu sedangkan pengambilan sebelum ini hanya mencapai angka 500 orang pelajar sahaja. Dalam masa sama, saya turut berhasrat mengangkat martabat pendidikan kemahiran ini ke aras lebih tinggi dengan melahirkan alumni INPENS yang berkemahiran dan berkarakter unggul”, ujar Ahmad Zabri.

Beliau turut berkata, belia-belia yang berminat dengan bidang kemahiran, sentiasa boleh menghubungi INPENS di pelbagai medium seperti laman sesawang, panggilan telefon, facebook, instagram atau menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui peluang melanjutkan pengajian di INPENS.

Seorang pelajar baharu yang ditemui, Syafiq Izani (20 tahun) berkata, peluang melanjutkan pengajian di INPENS merupakan platform terbaik untuk mengubah kehidupan beliau. Beliau yang mendaftar di dalam bidang automotif turut memasang hasrat untuk mendalami bidang tersebut sehingga mampu menjadi usahawan automotif yang berjaya.

INPENS yang beroperasi di Kuala Selangor menjalankan kursus kemahiran sejak 2006 kini menawarkan pendidikan kemahiran di dalam pelbagai bidang iaitu automotif, motosikal, penyamanan udara, teknologi maklumat, jahitan, kecantikan, dandanan rambut, kulinari, pastri, elektrik dan elektronik. Sesi ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila memperkenalkan sebuah kursus baharu iaitu semburan cat automotif.