BERITA


KURSUS TOTALLY PRODUCTIVE MAINTENANCE BERSAMA PERODUA

(07/02/2018)

INPENS International College (INPENS) terus tuntas dalam memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Vokasional (TVET) di negeri ini dengan lebih banyak kerjasama dijalinkan dengan industri-industri berskala mega. Terbaharu, INPENS telah menyertai Total Productive Maintenance Workshop (TPM) yang telah dijalankan bersama-sama dengan Perusahaan Otomobil Kedua Negara (Perodua).

Perodua yang sememangnya terkenal sebagai pengeluar otomobil terkemuka negara telah hadir berkongsi ilmu dan pengetahuan mereka di dalam bengkel yang diadakan selama dua hari. Bengkel berkenaan telah diadakan di Kampus INPENS, Kuala Selangor pada 7 dan 8 Februari 2018. Seramai lima penceremah dan fasilitator dari Perodua telah hadir menjayakan bengkel berkenaan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata bengkel ini merupakan satu sistem atau kaedah yang digunakan untuk memelihara dan meningkatkan kualiti produk melalui kaedah pencegahan serta penambahbaikan kelengkapan peralatan seperti mesin atau jentera. Beliau turut berkata, matlamat utama bengkel ini diadakan adalah untuk mengelakkan risiko kerugian besar kepada syarikat akibat tidak memahami prosedur pengendalian yang betul.

Dalam pada itu, Perodua yang diwakili Haji Ahmad Shah berkata, Perodua sentiasa mendukung hasrat INPENS untuk menerajui pengajian kemahiran bertaraf industri dengan berkongsi ilmu serta pengetahuan yang diamalkan di Perodua. “Di Perodua, kami sememangnya mengamalkan disiplin serta prosedur yang ketat demi menghasilkan yang terbaik. Pendedahan ilmu-ilmu sebegini kepada INPENS akan memberi tambah nilai yag baik kepada peserta yang terlibat”, ujar beliau lagi.

Seramai 18 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan INPENS telah menyertai bengkel TPM ini. Ahmad Zabri turut berkata bengkel ini akan turut diadakan khusus kepada pelajar dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan kemahiran yang kompeten dan berkualiti.