BERITA


HARI KEBUDAYAAN INPENS 2018 SEMAI KEHARMONIAN

(09/02/2018)

INPENS International College (INPENS) meneruskan penganjurkan Hari Kebudayaan INPENS pada tahun ini dengan objektif memperkenalkan adat serta budaya yang diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan menulis khat, pertandingan menulis kaligrafi cina, pertandingan memanah, pertandingan membuat kollam ranggoli, pertandingan memecah periuk tanah, pertandingan mematah tebu dan pelbagai pertandingan berunsurkan kebudayaan.

Program ini telah dirasmikan YB Ganabatirau a/l Veraman yang juga Exco Kemiskinan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin. Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Sektoral UPENS, Siti Sarah Abu Samah.
Turut diadakan sambutan Ponggal di mana warga INPENS bekerjasama memasak nasi manis di dalam periuk tanah. Ponggal diraikan sempena Hari Menuai di kalangan masyarakat India di Malaysia. Rata-rata pelajar yang ditemui merasa teruja kerana berpeluang mengenali lebih mendalam lagi berkaitan kebudayaan dan kesenian yang diamalkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman ketika ditemui berkata, beliau teruja dengan penglibatan semua pelajar tanpa mengira bangsa, di mana pelajar-pelajar Melayu dan Cina turut menyertai pertandingan memecah periuk tanah dan pertandingan membuat kollam.

“Hari Kebudayaan INPENS ini jelas membuktikan INPENS bersifat harmoni dengan kesepakatan pelbagai bangsa menjayakan sambutan pada hari ini. Pertandingan yang dianjurkan juga memberikan peluang kepada semua pelajar untuk turut serta tanpa mengira latar belakang masing-masing.”

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) yang sentiasa menyokong kepada program-program yang bersifat perpaduan sebegini. Hari Kebudayaan INPENS tahun ini diraikan dengan lebih meriah dengan pertambahan bilangan pelajar yang ramai pada Januari lalu. INPENS yang terletak di Kuala Selangor telah ditubuhkan selama 25 tahun merupakan institusi pengajian yang menawarkan pengajian kemahiran di peringkat sijil dan diploma.

#CemerlangBersamaINPENS
#HarmoniBersama