BERITA


BILIK SEKRETARIAT ALIIC: KE ARAH ALUMNI YANG PRODUKTIF & EFISEN

(02/05/2018)

Hari ini Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman telah melancarkan Bilik Sekretariat Alumni yang berfungsi sebagai pusat operasi Sekretariat Alumni INPENS International College (ALIIC). Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran saudara Tajul Ariffin Anuar yang juga Naib Pengerusi Sekretariat ALIIC. Dalam masa sama, majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 25 orang alumni daripada pelbagai kursus, di mana mereka turut berkongsi pengalaman masing-masing kepada pelajar yang bakal menamatkan pengajian pada Jun dan Ogos ini.

Ketika ditemui, Ahmad Zabri berkata penyertaan alumni yang aktif di dalam persatuan alumni mampu meletakkan INPENS di satu tahap yang lebih berprestij. Beliau turut berkata, semua alumni perlu merasa bangga dengan sekolah dan tempat pengajian masing-masing kerana di situlah bermulanya langkah kehidupan yang serba mencabar. Beliau turut berkata Bilik Sekretariat yang baru dilancarkan ini juga merupakan sebuah pejabat operasi yang dilengkapi kemudahan komputer berinternet. Pada masa akan datang juga, kemudahan lain akan ditambah seiring dengan keperluan ALIIC yang semakin bertambah keahliannya saban tahun.

ALIIC yang mula diaktifkan sekitar tahun 2014 telah mempunyai seramai 1889 alumni berdaftar. ALIIC bukan sahaja ditubuhkan untuk mengeratkan hubungan sesama alumni tetapi ditubuhkan dengan tujuan untuk penganjuran aktiviti alumni, peluang kerjaya, program ziarah dan program keusahawanan. Alumni yang berhasrat untuk mendaftar boleh menghubungi Unit Alumni di talian 03 32812617 (Puan Hani) atau mengikuti perkembangan ALIIC di Facebook rasminya iaitu ALUMNI INPENS INTERNATIONAL COLLEGE.

#CemerlangBersamaINPENS